Kalimah Pertama
Lafaz bismillah
بِسْمِ
اللَّهِ induk
bagi segala kebaikan, permulaan bagi setiap urusan. Kita juga memulakan dengan
bismillah. Wahai diri, ketahuilah sesungguhnya kalimah yang indah dan berkat ini,
di samping menjadi syiar Islam, ia juga zikir seluruh makhluk yang ada
mengikut bahasanya sendiri. Andainya engkau mahu mengetahui sejauhmana
kandungan ucapan bismillah yang mempunyai kekuatan agung yang tidak pernah
luput dan betapa luas keberkatannya yang tidak pernah berakhir, maka
dengarlah wahai diri akan hikayat perumpamaan yang ringkas ini.
Sesungguhnya
seorang badwi yang berkelana (bermusafir) di padang pasir, tentunya berlindung
dengan ketua kabilah, bernaung di bawah naungannya agar terselamat dari segala
kejahatan musuh, agar terlaksana segala tugasnya serta memperolehi segala
keperluannya. Sekiranya tidak, maka ia akan kekal keseorangan, terpinga-pinga
dan tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan keperluannya yang
tidak terbatas.
Begini…
kebetulan dua orang lelaki keluar berkelana. Salah seorang daripadanya
bersifat tawadhu' dan seorang lagi pula terpedaya dengan diri sendiri. Maka
yang tawadu' itu bernaung kepada ketua, manakala yang terpedaya tadi menolak
dari menerima sebarang naungan. Maka berkelanalah kedua-duanya itu di padang
pasir.
Yang
bernaung tadi setiap kali mendiami sebuah khemah ia menerima penghormatan dan
penghargaan disebabkan kemuliaan nama ketua tersebut. Apabila ia berjumpa perompak,
ia akan berkata; Sesungguhnya aku berkelana di bawah naungan ketua itu, lalu si
perompak tadi akan melepaskannya.
Yang
terpedaya pula, ia bertembung dengan pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak
mampu diungkapkan. Di sepanjang perjalanan ia sentiasa dalam keadaan
cemas, takut dan terpinga-pinga. Lalu ia mengutuk dan mengeji dirinya sendiri.
Wahai
diri yang tertipu, ketahuilah, engkulah si badwi yang berkelana itu, dan dunia
yang luas inilah padang pasirnya. Sesungguhnya kefakiran dan kedaifanmu tidak
terbatas sebagaimana musuh dan kehendakmu juga tidak berkesudahan. Sekiranya
demikian, maka bernaunglah dengan nama pemilik dan penguasa sebenar padang
pasir tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di
depan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut bila berhadapan dengan
musibah.
Ya!
sesungguhnya kalimah suci bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan
pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan
bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini,
dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat
yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada
cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi
syafaat di sisi yang Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Pemilik bagi segala
kemuliaan.
Sesungguhnya
yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang
mengungkapkan kalimah bismillah adalah
seumpama orang yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama
negara dan tidak gentar kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang
dan negara, maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya
dalam menghadapi semua perkara.
Kita
telah menyebut di permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan
bahasanya yang tersendiri iaitu dengan menyebut kalimah bismillah… adakah
ini benar?
Ya!
sebagaimana engkau melihat seorang lelaki yang mengepalai orang ramai dalam
satu perbarisan dan memerintahkan mereka supaya melakukan pelbagai jenis
urusan, maka sesungguhnya engkau pasti bahawa lelaki ini bukan mewakili dirinya
sendiri dan tidak pula mengepalai orang ramai atas nama dan kekuatan dirinya
sendiri, tetapi ia sebenarnya adalah seorang askar yang bertindak atas nama
negara dan berdasarkan kuasa pemerintah.
Seluruh makhluk ini
juga menunaikan tanggungjawabnya dengan lafaz bismillah, maka benih-benih yang
teramat kecil itu, dengan lafaz bismillah, ia menjunjung di atas kepalanya
pohonan yang besar dan bebanan yang berat. Setiap pohonan ini pula berkata
bismillah, lalu penuhlah dedahannya dengan buah-buahan daripada gedung
rahmat Allah, lalu dipersembahkannya rahmat tersebut kepada kita. Setiap taman
berkata bismillah, lalu ia seolah-olah menjadi sebuah dapur kepada kekuasaan
Allah (S.W.T) yang tersedia di dalamnya makanan yang lazat… dan setiap haiwan
yang mempunyai faedah dan manfaat seperti unta, kambing dan lembu pula berkata
bismillah, lalu ia menjadi seolah-olah sebuah sumur yang memancutkan susu-susu
yang teramat lazat, lalu dipersembahkannya kepada kita sebaik-baik dan
sebersih-bersih bahan makanan di atas nama al-Razzaq. Dan akar-akar tumbuhan
serta rumput-rampai mengucapkan bismillah, lalu memecahkan bebatu yang keras
dengan bismillah dan menembuskannya dengan akar-akar yang menjalar lembut bagai
sutera itu, lalu menundukkan setiap kesusahan dan setiap benda yang keras di
hadapannya dengan bismillah dan dengan bismirrahman.
Ya!
sesungguhnya menjalarnya dedahan pohon di udara, mengendong buah-buahan dan
menjalarkan akar-akarnya ke batu yang keras dan ia menyimpan bahan makanan
dalam kegelapan tanah… begitu juga dedaunan hijau dapat menanggung kepanansan
serta bahangnya itu, lalu dapat terus kekal dalam keadaan segar. Itu semua dan
yang lain daripada itu merupakan satu tamparan hebat terhadap mulut golongan
materialistik yang menjadi penyembah kepada sebab dan ia juga seolah-olah suatu
tempikan di hadapan muka mereka. Sesungguhnya bahan-bahan yang kamu banggakan
disebabkan kekerasan dan kepanasannya juga tidak mampu memberi kesan dengan
sendiri, bahkan kedua-duanya itu dapat menjalankan tugasnya atas arahan
pemerintah yang satu, yang menjadikan akar-akar yang lembut dan halus ini
seolah-olah tongkat nabi Musa (a.s) yang dapat memecahkan batu dan tunduk
kepada perintah فَقُلْنَا
اضْرِبْْ بِعَصَاكَ
الْحَجَرَ surah al-Baqarah
:60 ; yang menjadikan dedaunan yang lembut dan segar seolah-olah anggota badan
nabi Ibrahim (a.s) yang ketika menghadapi kepanasan membaca يَا نَارُ كُونِى
بَرْدًا وَ سَلاَمًا
surah al-Anbiya' :69.
Selagi
setiap kewujudan di alam ini mengungkapkan dengan makna bismillah dan
mengundang nikmat-nikmat Allah dengan bismillah, lalu dipersembahkannya kepada
kita, maka wajarlah kita juga untuk mengungkapkan ucapan bismillah, apabila
memberikan dan mengambil sesuatu dengan bismillah. Wajib juga bagi kita menolak
pertolongan dari golongan yang lalai yang tidak memberikan sesuatu dengan
bismillah.
Persoalan;
kita menyatakan rasa hormat, rasa kagum kita kepada mereka yang menjadi sebab
kepada nikmat yang kita perolehi. Dan apakah yang dipinta dari kita oleh Allah,
Pemilik dan Penguasa semua nikmat itu?
Jawapannya;
Sesungguhnya Pemberi nikmat yang hakiki meminta kita tiga perkara sebagai
bayaran kepada nikmat-nikmatNya yang tidak ternilai itu iaitu zikir, syukur dan
fikir.
Maka bismillah pada permulaan adalah zikir,
alhamdulillah sebagai penyudah adalah syukur dan keadaan di antara keduanya
(zikir dan syukur) adalah fikir iaitu dengan memerhatikan nikmat-nikmat yang
indah tersebut serta menyedari bahawa ia merupakan mukjizat bagi kekuasaan Dia
Yang Esa, yang menjadi tempat berserah dan juga menyedari itu semua adalah
hadiah bagi sifat rahmatNya yang maha luas, maka pemerhatian inilah yang
dipanggil fikir.
Tetapi…tidakkah
mereka yang sanggup mencium kaki tentera yang menjadi khadam yang menyampaikan
hadiah seorang penguasa, telah melakukan kebodohan yang amat dahsyat dan
kedunguan yang amat keji. Oleh itu, bagaimana pula dengan mereka yang memuji sebab
yang berbentuk kebendaan yang membawa kepada nikmat, lalu menyerahkan kepada
sebab tersebut kasih sayang dan ketundukan tanpa mengkhususkan kedua-duanya
kepada pemberi nikmat yang sebenar. Tidakkah mereka ini telah melakukan
kebodohan seribu kali lebih teruk daripada contoh tadi. Wahai diri, andainya
engkau tidak mahu dimasukkan ke dalam golongan yang bodoh lagi dungu tadi, maka
berilah dengan bismillah, ambillah dengan bismillah, mulalah dengan bismillah
dan bekerjalah dengan bismillah.
Terjemahan dari Kitab al-Kalimah, Karangan Badiuzzaman Said
Nursi.