IMAN DAN
MANUSIA
Kalimah ke Dua Puluh Tiga (Kalimah ini mengandungi dua bab)
Bab Pertama
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Firman Allah swt:
لَقَدْ
خَلَقْنَا الإْنسَانَ
فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
(4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ
أَسْفَلَ سَافِلِينَ
(5) إِلاَّ الَّذِينَ
آمَنُوا وَعَمِلُوا
الصَّالِحَاتِ
فَلَهُمْ أَجْرٌ
غَيْرُ مَمْنُونٍ
(6)
Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian
(jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami
kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
(at-Tin: 4-6)
Berikutnya kita akan menerangkan lima noktah daripada ribuan
noktah yang ada berhubung dengan keindahan iman.
Noktah Pertama
Dengan cahaya iman, manusia akan mencapai darjat yang paling
tinggi di antara yang tertinggi dan dengan
ini dia telah melayakkan dirinya untuk masuk ke dalam syurga. Sebaliknya, kegelapan kekufuran menjatuhkan
manusia ke peringkat yang paling rendah dan hina, sehingga dia layak sekali
masuk ke dalam neraka jahannam. Iman menghubungkan manusia dengan penciptanya
Yang Maha Agung dengan ikatan yang teguh. Dengan keimanan, manusia mencapai
martabat yang tertinggi melalui penjelmaan seni Ilahi dan ukiran al-Asma’
al-Husna pada dirinya. Manakala kekufuran memutuskan hubungan suci ini sehingga
seni ciptaan Allah yang ada pada manusia tadi menjadi kabur dan tersembunyi.
Dengan demikian, nilai manusia tadi akan jatuh ke tahap nilai materialnya
sahaja, sedangkan pada hakikatnya material yang terdapat dalam diri manusia itu
langsung tidak mempunyai nilai, kerana ia akan binasa, hilang dan kehidupannya
adalah kehidupan kehaiwanan yang sementara. Kita akan cuba menerangkan rahsia
ini melalui satu perbandingan:
Bagi sesuatu hasil seni, nilai bahan yang terkandung di
dalamnya adalah berbeza dari nilainya yang sebenar. Kadang-kala kedua-duanya
kelihatan sama dan kadang-kala hasil seni tadi nampak lebih berharga dari bahan
yang ada padanya. Namun begitu, dalam
banyak hal, sesuatu hasil seni biasanya berharga berjuta-juta ringgit sedangkan
bahan yang digunakan untuk menghasilkanya hanyalah bernilai beberapa puluh ringgit
sahaja. Apabila hasil seni ini dibawa
ke balai seni, maka ia pun akan dijual atas nilainya yang sebenar setelah
dipamerkan dengan nama karyawan yang masyhur dan mahir yang menghasilkanya
dinyatakan. Sebaliknya jika hasil seni itu dibawa ke kedai besi buruk, ia akan
dinilai atau dijual atas nilai bahan besi yang terkandung di dalamnya sahaja
dan mungkin tidak ada orang yang ingin membelinya.
Begitu juga halnya
dengan manusia. Manusia adalah hasil seni Allah Yang Maha Kuasa yang
menakjubkan. Dia adalah jelmaan
mukjizat kudratNya yang paling tinggi dan halus. Allah menciptakannya untuk
mempamerkan keseluruhan jelmaan al-Asma’ al-Husna sebagai paksi bagi ukuran
jelmaanNya yang indah. Allah juga menjadikannya sebagai satu mini model bagi
alam sejagat ini. Jika seseorang itu disinari dengan cahaya iman yang mantap,
segala jelmaan seni ukiran Ilahi kelihatan jelas pada dirinya, bahkan dapat
dibaca oleh orang lain. Jelmaan ini dibaca oleh seorang yang beriman dengan
penuh kesedaran dan menjadikan orang lain turut dapat membacanya. Seolah-olah
manusia yang beriman itu berkata “saya adalah ciptaan dan rekaan tuhan Yang
Maha Mencipta. Lihatlah bagaimana terjelma pada diri saya rahmat dan
kemurahanNya.” Dengan ini iman yang menghubungkan makhluk dengan penciptanya
menjelaskan segala hasil seni yang wujud di dalam dirinya. Oleh itu, nilai
manusia ditentukan mengikut kadar kezahiran dan jelmaan rekaan Ilahi pada
dirinya. Maka manusia yang pada mulanya tidak mempunyai apa-apa nilai itu
bertukar menjadi makhluk yang mempunyai martabat yang paling tinggi sehingga
membolehkannya untuk menerima sapaan Ilahi dan mendapat kemuliaan yang
melayakkannya untuk menjadi tetamu Allah di dalam syurga.
Manakala jika kekufuran -yang memutuskan hubungan seseorang
dengan Allah- menyelinap masuk ke dalam diri manusia, ia akan menjatuhkan
segala pengertian jelmaan al-Asma’ al-Husna ke dalam kegelapan dan memadamnya
sama sekali sehingga tidak lagi dapat dilihat dan dibaca. Ini kerana kita tidak
akan dapat memahami segala ukiran maknawi yang menunjukkan kepada Allah Yang
Maha Mencipta dengan kita melupakan Allah itu sendiri. Bahkan jika kita melupakanNya, ini bererti kita telah
membelakangkanNya. Di samping itu, kebanyakan tanda-tanda jelmaan ciptaan dan
ukiranNya yang berharga dan indah akan pupus dan hilang. Jika adapun
tanda-tanda tersebut yang masih tinggal, maka kita hanya akan menghubungkannya
dengan sebab-sebab yang remeh seperti ‘semulajadi’, ‘kebetulan’ dan sebagainya.
Ini akan menyebabkan segala hakikat yang merupakan permata yang berkilauan itu
bertukar menjadi kaca hitam yang gelap. Ketika itu, nilainya hanya pada bahan
buatannya sahaja. Sebagaimana kami telah jelaskan bahawa matlamat dan natijah
fizikal manusia hanyalah untuk menghabiskan kehidupan singkat yang dimiliki
oleh tuannya, iaitu makhluk yang paling lemah, berhajat dan berdukacita.
Kemudian akhirnya fizikal manusia itu akan rosak dan binasa… Demikianlah
bagaimana kekufuran meruntuhkan hakikat kemanusiaan dan menukarnya daripada
seketul permata yang berharga kepada seketul arang yang langsung tidak
bernilai.
Noktah Kedua:
Sebagaimana iman adalah cahaya yang
menyinarkan manusia dan memperlihatkan segala tulisan-tulisan Ilahi yang
tertulis di atasnya serta menyebabkan orang lain dapat membacanya, ia juga
memberi sinaran kepada seluruh alam ini. Iman juga menyelamatkan manusia
daripada pemikiran negatif terhadap kurun yang telah berlalu dan yang akan
datang daripada kegelapan yang mencengkam.
Kami akan menjelaskan rahsia ini
dengan membuat satu perumpamaan, berdasarkan kepada salah satu rahsia ayat
berikut:
Firman Allah swt:
اللَّهُ وَلِيُّ
الَّذِينَ آمَنُوا
يُخْرِجُهُمْ
مِنْ الظُّلُمَاتِ
إِلَى النُّورِ
Maksudnya: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang
yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya
(iman).”
(al-Baqarah: 257)
Dalam satu imiginasi, saya melihat dua buah gunung yang amat tinggi.
Kedudukan kedua-duanya saling berhadapan. Kedua-dua puncak gunung tersebut dihubungkan
dengan satu jambatan yang hebat dan menakjubkan. Di bawah jambatan tersebut
terdapat gaung yang amat dalam dan gelap. Saya pula sedang berdiri di atas
jambatan itu. Ketika itu, dunia diselubungi oleh kegelapan dari segenap
penjuru. Hampir tidak kelihatan apa-apa. Saya menoleh ke sebelah kanan, lalu
saya nampak sebuah tanah perkuburan yang besar di sebalik kegelapan yang tidak
berpenghujung itu. Demikianlah saya menggambarkannya. Kemudian saya melihat
pula ke sebelah kiri. Seolah-olah saya nampak gelombang ombak kegelapan sedang
mengganas dan membawa bersama-samanya segala bencana dan tragedi serta bersiap
sedia untuk menerkam. Saya melihat pula ke bawah jambatan. Tergambar pada
pandangan mata saya sebuah gaung yang amat dalam seolah-olah tidak mempunyai
dasar. Saya pula hanya mempunyai sebuah lampu suluh malap yang berada pada
genggaman tangan saya berhadapan dengan segala kegelapan yang menakutkan itu.
Saya menyalakan lampu itu, lalu ternampaklah kepada saya keadaan yang lebih
menyeramkan. Saya ternampak singa, binatang buas dan hantu sedang berkeliaran
di setiap penjuru hingga di hujung dan di tepian jambatan. Lalu saya berkata
kepada diri saya “alangkah baiknya jika saya tidak mempunyai lampu suluh
tersebut yang memperlihatkan kepada saya segala makhluk yang menakutkan itu.”
Setiap kali saya menghalakan lampu saya ke mana-mana arah, saya akan ternampak
keadaan yang sama. Saya menyesal dan berkata kepada diri saya: “Lampu ini
membawa musibah dan bencana kepada saya.” Lantaran kerana terlalu marah, saya
campakkan lampu itu ke tanah dan ia pecah. Tiba-tiba keadaan menjadi terang
benderang, seolah-olah lampu yang saya campakkan itu terkena suiz lampu
elektrik besar yang berkuasa tinggi sehingga dapat menerangi seluruh alam dan
menghilangkan kegelapan. Setiap penjuru dan tempat menjadi terang dengan cahaya
tersebut. Semuanya dapat dilihat dengan jelas dan terang sebagaimana keadaan
sebenarnya. Lalu saya dapati jambatan yang tergantung di antara dua puncak
gunung yang tinggi itu sebenarnya hanyalah sebuah jalan yang lurus dan landai.
Tanah perkuburan besar yang saya nampak berada di sebelah kanan saya pula
sebenarnya hanyalah majlis-majlis zikir, tahlil, ilmu dan ibadat yang dipandu
oleh beberapa orang yang alim di dalam taman-taman hijau yang cantik yang menyebarkan
kebahagiaan serta cahaya ke dalam hati. Manakala gaung yang dalam serta
kejadian kemalangan yang saya lihat di sebelah kiri saya sebenarnya hanyalah
bukit-bukit yang mempunyai pohon-pohon menghijau yang menyenangkan dan
menyedapkan mata memandang. Di bahagian belakangnya, terdapat tempat
persinggahan yang hebat, padang ragut yang menghijau dan taman yang indah… Ya,
demikianlah apa yang saya dapat lihat melalui imiginasi saya. Manakala
binatang-binatang buas dan makhluk-makhluk menakutkan yang saya saksikan itu
sebenarnya hanyalah binatang-binatang jinak seperti unta, lembu, bebiri dan
kambing. Ketika itu, saya membaca firman Allah swt:
Maksudnya: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang
yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya
(iman).”
(al-Baqarah: 257)
Saya mula mengulang-ulangi: Segala
puji bagi Allah terhadap cahaya keimanan yang dilimpahkan kepada saya.
Kemudian saya tersedar daripada
imiginasi tersebut.
Yang dimaksudkan dengan dua buah
gunung yang besar itu ialah permulaan kehidupan ini dan pengakhirannya, iaitu
alam dunia ini dan alam barzakh… Jambatan yang terbentang itu pula ialah jalan
kehidupan… Sebelah kanan saya pula ialah masa yang telah berlalu dan sebelah
kiri saya pula ialah masa akan datang. Manakala lampu suluh pula ialah perasaan
keegoan manusia yang berbangga-bangga dengan ilmu yang ada pada dirinya dan
tidak mahu mendengar wahyu dari langit… Manakala hantu-hantu dan
lembaga-lembaga serta binatang-binatang yang menakutkan itu ialah
kejadian-kejadian menakjubkan yang berlaku di dalam alam ini.
Seseorang yang bergantung kepada
keegoan dan keangkuhannya, terjatuh ke lembah kegelapan kealpaan dan diuji dengan
pelbagai belenggu kesesatan yang mengelirukan, dia menyerupai keadaan saya yang
pertama sebagaimana saya gambarkan melalui imiginasi tersebut. Dia melihat
zaman lampaunya dengan menggunakan cahaya lampu suluh yang malap itu sebagai
sebuah perkuburan besar yang berada di dalam kegelapan ‘ketiadaan’. Ini adalah
gambaran tidak benar dan menyeleweng serta menyesatkan. Dia juga menggambarkan
masa depannya sebagai sebuah tempat terpencil yang sentiasa diselubungi dengan
pelbagai bencana dan tragedi yang dikatakan berpunca daripada ‘kebetulan’. Dia
juga melihat segala kejadian dan benda yang wujud di atas dunia ini -yang
semuanya dijadikan oleh Allah mempunyai tugas-tugas tertentu- seolah-olah
sebagai binatang-binatang buas yang mengganas. Maka dia berhak mendapat
ketetapan yang ditentukan oleh ayat berikut, firman Allah swt:
وَالَّذِينَ
كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمْ
الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ
مِنْ النُّورِ
إِلَى الظُّلُمَاتِ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah
Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).”
(al-Baqarah: 257)
Tetapi jika manusia dibantu oleh
hidayah Ilahi, iman dapat menyelinap memasuki hatinya, kebejatan dirinya
dihancurkan dan dia mendengar serta memberikan perhatian kepada kitab Allah,
maka dia menyamai keadaan saya yang kedua dalam peristiwa yang saya
imaginasikan itu. Dengan itu, segala yang wujud mendapat sinaran cahaya dan
dipenuhi dengan nur Ilahi. Alam seluruhnya berkata:
Maksudnya: “Allah yang menerangi langit dan bumi.”
(al-Nur: 35)
Ketika itu, zaman yang telah berlalu
tidak lagi merupakan sebuah tanah perkuburan besar sebagaimana yang
disangkakan. Bahkan seluruh zamannya sebagaimana disaksikan oleh pandangan hati
yang suci adalah dipenuhi dengan pelbagai tugas ubudiyyah di bawah pimpinan
seorang nabi yang diutuskan atau sekumpulan para wali yang salih. Pimpinan itu
mengatur tugas ubudiyyah yang mulia itu serta menyebarkan dan meneguhkan
paksinya di kalangan seluruh ummat Islam dalam bentuknya yang paling sempurna.
Setelah kumpulan ini yang mempunyai ruh suci menunaikan segala tugas kehidupan
dan kewajipan fitrahnya, mereka terbang menuju ke maqam yang tinggi dan mulia
sambil menyebut berulang-ulang “Allah maha besar” (Allahu Akbar) hingga
menembusi hijab masa hadapan.
Ketika berpaling ke arah kiri, dari
jauh kelihatan melalui pandangan nur keimanan bahawa di sebalik
kejadian-kejadian di dalam alam barzakh dan di akhirat yang sebesar gunung yang
tinggi terdapat beberapa istana kebahagian syurga. Di dalam istana-istana itu
dibentangkan rumah-rumah tetamu Allah yang tidak kelihatan di mana permulaan
dan di mana penghujungnya. Setelah melihat semua ini, dia meyakini bahawa
segala bencana alam seperti puting beliung, gempa bumi, taun dan sebagainya
hanyalah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diperintahkan kepadanya
sahaja. Maka dia melihat angin yang bertiup kencang pada musim bunga, hujan
ribut yang turun dan seumpamanya yang pada zahirnya kelihatan seperti kejadian
yang mengundang dukacita dan kesedihan, pada hakikatnya adalah paksi hikmat
yang maha halus. Hinggakan kematian dianggap sebagai mukadimah bagi menempuh
kehidupan yang abadi dan kubur dilihat sebagai pintu kebahagiaan yang kekal
abadi… Gunakanlah perumpamaan ini terhadap realiti kehidupan yang lain!
Iman adalah cahaya dan juga kekuatan. Ya !, orang yang
memiliki iman yang sebenarnya mampu mencabar seluruh alam sejagat ini dan
berupaya menghadapi segala cabaran yang menimpanya bersandarkan kekuatan iman
yang ada padanya. Dia mengharungi arus kehidupan serta menghadapi segala
gelombang bencana besar yang menimpanya dengan aman dan selamat seraya berkata:
“Saya bertawakkal kepada Allah”. Dengan itu, dia menyerah dan mengamanahkan
bebanan yang berat kepada kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa. Dengan cara ini, dia menjalani kehidupan
duniawi dengan rasa selesa, kemudian berehat di alam barzakh dan seterusnya
mampu terbang ke syurga untuk menikmati kebahagiaan yang kekal abadi.
Jika sebaliknya dia tidak bertawakkal kepada Allah, bukan
sahaja dia tidak akan mampu untuk terbang ke syurga, bahkan bebanan berat yang
dipikulnya itu akan mengheretnya ke darjat yang rendah, serendah rendahnya.
Ini bermakna iman membawa kepada tauhid (pengesaan Allah).
Tauhid membawa kepada taslim (penyerahan diri kepada Allah). Taslim
merealisasikan tawakkal dan tawakkal kepada Allah mempermudahkan jalan untuk
mendapat kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat.
Janganlah anda menyangka tawakkal kepada Allah bermaksud menolak konsep sebab dan musabab sama sekali. Tetapi tawakkal ialah bahawa kita tahu dan sedar sebab- musabab itu merupakan hijab yang berada di tangan Allah Yang Maha Berkuasa yang mesti dipenuhi. Dia juga sepatutnya mengetahui bahawa berusaha untuk merealisasikan sebab dan musabab ini umpama satu doa yang positif dengan keyakinan bahawa Allah lah yang menjadi penentu utama segala sesuatu dan hanya Dialah yang mesti disyukuri.
Kita boleh memahami
kedudukan orang yang bertawakkal kepada Allah dan kedudukan orang yang tidak
bertawakkal kepadaNya melalui perbandingan dua orang sahabat dalam cerita
berikut:
Setelah membeli
tiket, dua orang lelaki yang sedang memikul bebanan berat di atas kepala dan
belakang mereka menaiki sebuah kapal. Sebaik sahaja mereka menaiki kapal
tersebut, salah seorang daripadanya meletakkan barangan yang dipikulnya di atas
lantai kapal dan terus duduk di atas baranganya lalu mengawalnya. Manakala
rakannya yang bodoh dan degil tidak mahu meletakkan barangan yang dipikulnya.
Apabila dia diberitahu: “Letakkan barang saudara agar saudara merasa selesa”,
dia menjawab: “Tidak! Saya takut barangan saya ini mungkin hilang nanti. Saya cukup kuat untuk terus memikulnya di
atas kepala dan belakang saya.” Dia
diberitahu lagi: “Kapal di Raja yang membawa saudara dan kita semua ini dijamin
lebih kuat dan lebih mampu menanggung barangan saudara itu daripada kita semua.
Saudara mungkin akan kehilangan tenaga, merasa pening dan mungkin akan terjatuh
ke dalam laut bersama-sama barangan itu.
Kepala saudara yang tidak berakal dan tulang belakang saudara yang
bengkok tidak akan mampu memikul bebanan barang yang kian berat setiap detik
ini. Lagipun jika nakhoda kapal ini melihat saudara dalam keadaan begini, dia
akan menyangka bahawa saudara orang yang tidak siuman dan akan menyingkirkan
saudara daripada kapal ini, atau pun dia menyangka saudara sedang mencemuh
kapal ini dan memperolok-olokkannya, lalu dia berkata: “Penjarakan dia!” Dengan
itu, saudara akan memperbodohkan diri saudara sendiri di khalayak ramai. Bagi
yang dapat memahami, mereka dapat melihat kelemahan saudara melalui sifat
keangkuhan, kerendahan dan kemunafikan melalui kepura-puraan saudara. Kesemua
sikap saudara ini telah menyebabkan saudara menjadi bahan yang ditertawakan
oleh orang ramai. Tidakkah saudara nampak mereka sekarang sedang mentertawa dan
menjatuhkan maruah saudara?”
Kemudian, setelah
mendengar kata-kata yang panjang lebar ini, orang yang malang itu sedar akan
kesalahannya. Dia pun meletakkan baranganya dan duduk di atasnya. Dia berkata
kepada rakannya: “Semoga Allah memberkati saudara. Saudara telah menyelamatkan
saya daripada kesengsaraan, kehinaan, dari dipenjarakan dan dari
diperbodohkan. Saya juga telah
diselamatkan dari menjadi bahan yang ditertawakan.”
Wahai manusia yang
tidak mahu bertawakkal kepada Allah! Sedarlah dan kembalilah kepada kewarasan
saudara sebagaimana yang berlaku kepada orang kedua itu. Dengan cara ini
sahajalah saudara akan bebas daripada mengemis daripada makhluk. Saudara juga
akan terselamat daripada perasaan ketakutan dan kegerunan ketika berhadapan
dengan segala peristiwa yang menakutkan. Saudara juga akan terselamat daripada
perasaan riyak dan diperbodohkan. Lebih dari itu, saudara juga akan terselamat
daripada kecelakaan abadi dan segala belenggu kesempitan kehidupan di dunia
ini.
Noktah
Keempat
Iman membuatkan
manusia menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Bahkan iman menjadikan
manusia sebagai raja kepada segala makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu, iman dan doa adalah menjadi
kewajipan manusia yang utama dan asasi bersesuaian dengan fitrah manusia itu
sendiri. Kekufuran sebaliknya membuat manusia menjadi binatang buas yang sangat
lemah.
Daripada beribu
bukti yang ada dalam perkara ini, kami hanya akan membawa satu bukti sahaja.
Iaitu perbezaan yang wujud di antara cara manusia dan binatang dilahirkan ke
dunia ini. Ia merupakan satu bukti yang terang dan jelas. Ya! Perbezaaan ini
menunjukkan bahawa manusia hanya boleh mencapai tahap kemanusiaannya yang
sempurna hanya dengan keimanan sahaja. Ini adalah kerana sebaik sahaja binatang
dilahirkan ke dunia ini, ia kelihatan seolah-olah telah dilatih dengan sempurna
di satu dunia lain dengan kebolehan yang telah sempuna dalam semua hal. Dalam
masa dua jam sahaja, atau dua hari atau paling lewat dua bulan, ia telah
mempelajari segala syarat-syarat kehidupan dan hubungannya dengan seluruh alam
semesta dan undang-undang kehidupan ini serta mahir dengannya. Sebagai contoh,
seekor burung merpati atau lebah mampu memperolehi kekuatan dan menjadi mahir
dalam kehidupan dengan baik dalam masa dua puluh hari sahaja melalui ilham dan
hidayat daripada Allah, sedangkan manusia memerlukan masa selama dua puluh
tahun untuk persedian tersebut. Ini bermakna peranan binatang yang utama
bukanlah untuk mencapai kesempurnaan dengan menuntut ilmu dan mengejar kemajuan
atau meminta bantuan dan berdoa dengan menunjukkan rasa kelemahannya. Tetapi
tugasnya yang utama ialah berusaha dalam batasan sempadan kemampuan yang ada
padanya, iaitu melaksanakan ubudiyyah yang amali.
Manakala manusia
pula perlu mempelajari segala peraturan hidup yang bakal ditempuhinya ketika
dia lahir ke dunia ini, kerana dia lahir ke dunia ini dalam keadaan tidak
berilmu dan tidak berupaya mempelajari dengan sepenuhnya peraturan-peraturan
hidup walaupun dalam masa dua puluh tahun. Dia perlu untuk terus belajar
sehingga ke akhir hayatnya. Dengan lain perkataan dia dilahirkan ke dunia ini
dalam keadaan yang terlalu lemah dan dhaif, bahkan dia hanya mampu berdiri
sendiri setelah berumur satu atau dua tahun. Hanya dalam masa lima belas tahun
barulah dia mampu membezakan perkara yang membawa kebaikan dan yang membawa
keburukan. Hanya dengan bantuan dan pengalaman bermasyarakat, dia berupaya
mengambil pengajaran daripada perkara-perkara yang berfaedah dan menjauhi
perkara-perkara lain yang memberi kecelakaan.
Ini bermakna
kewajipan yang menjadi fithrah manusia ialah untuk mengejar kesempurnaan
melalui menuntut ilmu dan untuk mengisytiharkan ubudiyyahnya (perhambaannya)
kepada Allah melalui doa yang dilakukan. Ini bermakna dia perlu memberikan
jawapan terhadap soalan-soalan berikut: “Atas sifat pengasih siapakah,
perjalanan hidup saya ini diatur dengan begitu bijaksana? Atas sifat pemurah
siapakah saya dibesarkan? Atas sifat pemurah siapakah saya disuapkan dan
diaturkan rezeki dengan sempurna?” Melalui jawapan-jawapan tersebut, dia akan
mengetahui bahawa tugasnya ialah berdoa, merendah diri, bertawassul dan
berharap dengan memohon segala keperluannya daripada Allah Yang Maha Pemberi
rezeki melalui rasa kelemahan dan kefakiran. Permintaannya itu hendaklah
dihadapkan kepada Tuhan Yang Memenuhi segala hajat yang dia sendiri tidak mampu
memenuhinya. Ini bermakna, bahawa tugasnya yang utama ialah terbang dan menuju
ke tempat tinggi dengan menggunakan sayap kelemahan dan kedhaifan untuk menuju
maqam ubudiyyah yang maha agung.
Ini juga bermakna,
bahawa kehadiran manusia ke bumi ini ialah untuk disempurnakan kemanusiaannya
melalui makrifat dan doa. Ini adalah kerana semua benda mempunyai hubungan dengan
ilmu dan makrifat mengikut keadaan dan situasi sesuatu benda itu. Asas, dasar,
cahaya dan ruh kepada semua ilmu yang hakiki ialah makrifat kepada Allah swt.
Sebagaimana dasar kepada asas tersebut ialah keimanan kepada Allah swt.
Manusia terdedah
kepada segala bentuk bala dan bencana serta serangan musuh yang tidak terhingga
banyaknya kerana kelemahan mutlak yang dimilikinya. Di samping itu, manusia
juga mempunyai permintaan dan keperluan yang berbagai-bagai sedangkan dia
berada dalam keadaan papa kedana. Oleh itu, tugas fitrahnya yang utama selepas
beriman, ialah berdoa. Doa adalah asas dan punca kepada semua jenis ibadat.
Untuk mencapai
sesuatu keinginan atau hajat yang tidak boleh diperolehinya, seseorang bayi
akan hanya menangis atau dia akan menyatakan hasratnya itu dengan perkataan.
Dengan lain perkataan, dia akan meminta benda yang diingininya itu dalam bentuk
perkataan atau tindakan. Dengan kedua-dua cara tadi, dia mungkin berjaya
mencapai hasratnya itu.
Manusia yang
merupakan makhluk Allah yang paling lemah, lembut dan fakir adalah laksana bayi
manja yang lemah di kalangan makhluk ciptaan Allah. Dia mestilah berlindung di
bawah naungan Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang sama ada dalam keadaan
menangis dengan menggambarkan kelemahannya atau berdoa melalui kelemahan dan
keberhajatannya sehingga keperluan dan keinginannya dipenuhi dan diperkenankan.
Ketika itu, dia dianggap telah melaksanakan tugasnya untuk bersyukur terhadap
segala pertolongan, pemenuhan permintaan dan kemudahan yang diberikan kepadanya.
Sebaliknya jika
manusia itu tidak bersyukur kepada Allah dan berkata dengan penuh kesombongan
seperti seorang kanak-kanak yang degil: “Saya akan dapatkan segala benda yang
luar biasa ini dengan kekuatan, kecerdasan dan keupayaan saya sendiri.” Sedangkan
kuasa yang ada pada benda-benda ini mengatasi kekuatannya sendiri sebanyak
ribuan kali ganda. Tindakan ini merupakan kekufuran terhadap nikmat Allah. Ia
juga adalah maksiat yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan. Ia juga
melayakkan manusia untuk menerima seksaan yang pedih dan perit.
Noktah Kelima
Iman menuntut agar
doa kepada Allah sentiasa dilakukan. Iman juga menjadikan doa sebagai satu cara
yang mesti dilakukan bagi mewujudkan perantaraan antara seorang hamba dengan
tuhannya. Fitrah manusia juga amat berkeinginan untuk sentiasa melakukan doa
kepada tuhannya. Selaras dengan itu, Allah swt juga menyeru manusia supaya
melakukannya. Firman Allah swt (al-Furqan: 77) yang bermaksud: Katakanlah
(wahai Muhammad): “Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa
ibadat kamu kepadaNya.”
Allah swt juga
berfirman (Ghafir: 60) yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu.”
Jika saudara
berkata: “Saya selalu berdoa tetapi doa saya tidak di terima. Sedangkan ayat di
atas adalah umum, yang menyatakan bahawa setiap doa akan diperkenankan.”
Jawapannya:
Memustajabkan doa
(menyahut) tidak sama dengan mengqabulkannya (melaksanakannya). Setiap doa
pasti akan dimustajabkan (disahut), namun pengqabulan dan perlaksanaan perkara
yang diminta adalah terserah kepada hikmat kebijaksanaan Allah swt sendiri.
Mungkin kita boleh
membuat satu perumpamaan atau perbandingan:
Seorang kanak-kanak
meraung kesakitan kepada seorang doktor: “Lihat dan buatlah pemeriksaan terhadap
saya.” Doktor berkata: “Saya sedia menurut arahan kamu.” Lalu kanak-kanak itu
berkata: “Berikan saya ubat ini.” Tetapi doktor itu hanya akan melakukan
perkara yang akan memberikan manfaat dan kemaslahatan kepada kanak-kanak
tersebut, sama ada dia akan memberikan ubat yang diminta oleh kanak-kanak
tersebut, atau dia akan memberikan ubat lain yang lebih berkesan, atau dia
tidak memberikan ubat langsung. Semua tindakan yang diambil itu adalah
berdasarkan hikmat kebijaksanaannya semata-mata.
Begitu juga
keadaannya dengan Allah swt. Oleh kerana Allah adalah tuhan yang maha
bijaksana, yang maha memerhati dan yang maha berkira pada setiap ketika, maka
dia adalah tuhan yang menyahut setiap doa para hambaNya. Dengan sahutan
tersebut, segala perasaan takut dan keseorangan yang mencengkam perasaan para
hambaNya akan segera terhapus lalu diganti dengan pengharapan, kejinakan dan
ketenangan. Namun dalam masa yang sama, Allah swt juga sama ada akan terus
memaqbulkan permintaan hambaNya, atau mengurniakan sesuatu yang lebih baik,
atau menolaknya langsung. Semua ini dilakukan berdasarkan hikmat
kebijaksanaanNya semata-mata. Bukan berdasarkan hawa nafsu dan angan-angan para
hamba yang liar dan merosakkan.
Doa juga sejenis
‘ubudiyyah. Ia juga adalah buah kepada ibadah dan faedahnya berbentuk ukhrawi.
Tujuan keduniaannya hanya waktu-waktu yang dipergunakan untuk melaksanakan doa
dan ibadat tersebut. Manfaat duniawi tidak menjadi matlamat kepada doa dan
ibadat tersebut.
Sebagai contoh:
Sembahyang Istisqa’ (minta hujan) adalah satu jenis ibadat. Musim kemarau pula
adalah waktu bagi menunaikan ibadat tersebut. Ibadat dan doa yang dilakukan itu
bukanlah agar hujan diturunkan. Kerana jika sembahyang itu ditunaikan dengan
niat sedemikian sahaja, maka ibadat tersebut tidak layak untuk dimaqbulkan,
kerana ia tidak ikhlas kerana Allah swt.
Begitu juga dengan
waktu tenggelam matahari yang merupakan perisytiharan kepada masuknya waktu
maghrib. Begitu juga dengan waktu gerhana matahari atau bulan yang merupakan
waktu menunaikan sembahyang sunat gerhana. Allah swt menyeru para hambaNya agar
melaksanakan satu jenis ibadat bersempena dengan terhapusnya tanda siang atau
malam yang menunjukkan kebesaran Allah swt. Ibadat atau sembahyang tersebut
dilakukan bukanlah dengan tujuan agar matahari atau bulan terbit semula, kerana
kedua-duanya telah diketahui dengan tepat oleh astronomis.
Begitu juga dengan
waktu kemarau yang merupakan waktu untuk menunaikan sembahyang istisqa’
(meminta hujan). Begitu juga dengan waktu berlakunya bala bencana atau
berlakunya sesuatu yang buruk serta memudaratkan merupakan waktu untuk
melakukan beberapa doa tertentu. Kerana pada ketika itu, manusia menyedari
tentang kelemahan dan keberhajatan dirinya, lalu dia mencari perlindungan
dengan melakukan doa dan bertadharru’ (merendahkan diri) mengetuk pintu tuhan
yang maha berkuasa. Namun jika Allah swt tetap tidak menghilangkan bala
bencana, musibah dan keburukan yang menimpa sekalipun doa yang penuh
pengharapan telah dilakukan, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa doa
tersebut tidak dimustajabkan. Bahkan kita hendaklah mengatakan bahawa waktu
berdoa belum lagi berakhir. Sebaik sahaja Allah swt mengangkat bala bencana
tersebut berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya semata-mata, maka waktu berdoa
telah berakhir. Oleh sebab inilah, doa merupakan salah satu daripada rahsia
‘ubudiyyah.
‘Ubudiyyah hendaklah
dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt. Seseorang manusia hendaklah
mendapatkan perlindungan tuhannya dengan melakukan doa dan menzahirkan
kelemahannya. Di samping itu, dia juga tidak boleh campur tangan atau membuat
bantahan terhadap urusan ketuhanan tuhannya. Dia hendaklah menyerahkan
segala-galanya kepada tuhannya. Di samping itu, dia hendaklah memberikan
pergantungan sepenuhnya kepada hikmat kebijaksanaan tuhannya tanpa merasa ragu
terhadap sifat rahmatNya dan tanpa merasa berputus asa daripada terus
memberikan pengharapan kepadaNya.
Ya! Telah dapat
dibuktikan dengan tanda-tanda yang terang nyata bahawa seluruh mawjudat (benda
yang wujud) sentiasa bertasbih kepada Allah dengan tasbih yang khusus, dengan
ibadat yang tertentu dan dengan sujud yang tersendiri. Hasil daripada
situasi-situasi ibadat yang tidak terkira dan terbilang banyaknya ini lahirlah
pelbagai jenis ibadat yang membawa kepada perlindungan di bawah naungan tuhan
yang maha agung.
Doa juga boleh
berlaku melalui ‘lisan persediaan dan penerimaan’. Seperti doa yang dilakukan
oleh semua jenis tumbuhan dan pelbagai spesis haiwan. Mereka bermohon daripada
tuhan yang amat melimpah ruah rezekiNya dalam suatu bentuk gambaran yang
menampilkan pengertian-pengertian yang wujud pada al-asma’ al-husna. Doa juga
boleh berlaku melalui ‘keperluan semulajadi’ seperti doa yang dilakukan oleh
semua jenis hidupan bagi memperolehi keperluan-keperluan asasinya yang terkeluar
daripada batasan kemampuannya. Lalu mereka bermohon daripada tuhan yang maha
pemurah melalui lisan keperluan fitrahnya agar dikurniakan elemen-elemen yang
boleh meneruskan kehidupannya melalui rezeki-rezeki yang diberikan kepadanya.
Atau doa juga boleh
berlaku melalui ‘lisan keterpaksaan’, seperti doa yang dilakukan oleh seseorang
terpaksa dengan melakukan tadharru’ sepenuhnya kepada tuhannya yang tidak dapat
dilihat. Dia tidak menujukan permohonannya melainkan kepada tuhan yang maha
pengasih dan sentiasa memenuhi keperluan hambaNya dan sentiasa memberikan
perlindunganNya.
Ketiga-tiga jenis
doa ini adalah dimaqbulkan jika sekiranya tidak berlaku sesuatu yang
menyebabkan ia tidak boleh dimaqbulkan.
Jenis doa yang
keempat ialah doa yang biasa kita lakukan. Doa ini juga terbahagi kepada dua
bahagian:
Pertama: Doa yang
berbentuk amali dan praktikal.
Kedua: Doa yang
berbentuk hati dan perkataan sahaja.
Contoh: Melakukan
sebab musabab yang menjadikan kita memperolehi sesuatu adalah doa yang amali,
tetapi perlu ditegaskan di sini sebab yang dilakukan itu bukanlah bertujuan
untuk mewujudkan musabab. Tetapi ia hanyalah untuk mewujudkan situasi yang
sesuai dan meredhakan Allah swt agar musabab itu boleh dimohon daripadaNya
melalui lisaanul haal. Oleh itu, pembajakan yang kita lakukan hanyalah
sebagai usaha untuk mengetuk pintu khazanah rahmat Ilahi. Memandangkan doa
jenis amali ini dihalakan kepada tuhan yang amat pemurah, maka pada
kebiasaannya, doa ini akan dimaqbulkan, tidak tertolak sama sekali.
Bahagian kedua pula,
iaitu doa dalam bentuk lisan dan hati, iaitu memohon berlakunya sesuatu yang
tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia atau memohon sesuatu hajat yang
tidak mungkin dapat diberikan oleh makhluk. Faedah terpenting daripada doa
seumpama ini ialah untuk menunjukkan kepada seseorang yang berdoa bahawa di
sana tetap ada orang yang mendengar lintasan hatinya, iaitu orang yang
tanganNya boleh mencapai segala sesuatu. Orang itu juga mampu untuk memenuhi
segala keinginan dan pengharapannya. Orang yang mengasihani kelemahan dan
kefakirannya.
Wahai manusia yang lemah lagi fakir! Awaslah anda daripada melepaskan diri daripada berpegang dengan khazanah rahmat yang maha luas dan sumber kekuatan yang jitu, iaitu doa. Anda hendaklah berpegang teguh dengannya agar darjat anda meningkat ke darjat kemanusiaan yang paling tinggi. Anda hendaklah menjadikan doa para makhluk yang lain sebahagian daripada doa anda. Anda juga hendaklah menjadikan diri anda sebagai hamba atau wakil kepada makhluk yang lain ketika anda berkata “dan kepadaMulah kami memohon pertolongan”. Anda juga hendaklah menjadi cermin yang sebaiknya terhadap alam buana ini.
Terjemahan
Kalimah Kedua Puluh Tiga dari kitab al-Kalimat karangan Badi’uzzaman Sa’id
al-Nursi oleh:
Ustaz
Anuar Fakhri Omar
Jabatan
Syariah
Fakulti
Pengajian Islam
Universiti
Kebangsaan Malaysia
Dan
Khairul
Anuar Mohd. Nayan
Jabatan
Kejuruteraan Awam & Struktur
Fakulti
Kejuruteraan
Universiti Kebangsaan Malaysia